BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Jumaat, 18 Disember 2009

Demi Masa.

Menghitung bulan,minggu dan hari-hari terakhir tahun 1430H dan 2009M dengan fikiran dan perasaan berkecamuk memaksa saya menyepikan diri buat seketika dari menulis catatan di ruangan peribadi ini. Sekadar menjadi pembaca senyap tanpa sebarang komen bila berkesempatan menjeguk ruangan milik keluarga dan kenalan.

Sesungguhnya bila datang masa fikiran dan perasaan tidak tenang,terasa alangkah baiknya kalau saya mampu menghentikan masa atau paling tidakpun melambatkan masa dari terus berlalu untuk mencari kembali ketenangan yang hilang.

Fikiran dan perasaan saya sebenarnya berkecamuk dengan keperluan dan kehendak hidup. Semenjak bertambahnya amanah hidup sebagai isteri dan ibu,terasa benar terlalu cepatnya masa berlalu sedangkan saya masih berusaha mengatasi kelemahan diri mengurus dan mengatur masa sebaik mungkin. Kekadang saya terkilan kerana banyak yang saya perlu dan hendak lakukan tapi tidak ada berkesempatan.

"Kadang-kadang Ayang jealous dengan Abang." Luah saya kepada suami ketika kami baring bersama di bilik tidur suatu malam.

"Kenapa pulak?" Jawab suami bersahaja tapi penuh persoalan. Mungkin tidak menyangka saya ada menyimpan rasa itu kepadanya.

"Abang selalu ada masa jadi Cleopatra (istilah saya gunakan padanya bila dia baring mengiring di atas sofa) baca suratkhabar sambil tengok tv." Saya menarik nafas dalam sebelum menyambung kata.

"Abangpun selalu ada masa dan idea tulis post panjang berjela dalam blog Abang hampir setiap hari. Ayang jealous Abang selalu ada masa dan idea tapi Ayang tak."

Merenung kembali ruangan peribadi yang lama tidak dikemaskini hati saya terasa ingin kembali menulis. Namun ketiadaan masa dan idea untuk menulis membuatkan hati saya bertanya, kenapa ingin menulis sebenarnya?

Adakah kerana ingin ruangan ini mendapat puluhan ulasan di setiap catatan,ratusan pengikut dan ribuan pelawat sedangkan catatannya sekadar hiburan untuk menjaga dan memuaskan hati pembaca supaya setia di ruangan ini. Bukan itu yang saya inginkan. Betapa ruginya masa dan idea yang saya usahakan untuk menulis kalau hanya kerana semua itu.

Saya ingin menulis kerana-Nya. Menulis catatan yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri,keluarga,kenalan dan semua yang membacanya kerana;


Sabda Rasulullah SAW

"Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain."



Rabu, 28 Oktober 2009

Cakap Apa Ummi?

Jam di dinding menunjukkan pukul 1.3o pagi namun masih belum ada tanda-tanda Amani berdua mengantuk malah masih aktif walau Ummi sudahpun 'light off' seluruh rumah. Ketiadaan Abah menyukarkan lagi Amani berdua untuk tidur. Kekadang perlu mendengar suara Abah dulu sebelum dapat melelapkan mata,sama saja Aqil mahupun Amar. Ummi cuba menawarkan diri untuk membacakan buku kegemaran Amani berdua,

"Tak boleh. Abah aja." Kata Ammar.

"Ummi baca tak best,Abah baca best." Sambil membuat isyarat 'best' dengan tangannya.

Sementara Amani berdua gigih ber'explore race' menjelajah dari dapur ke ruang tamu dan ke dapur kembali,Ummi menonton siaran Hallmark. Tiba-tiba Ummi dihampiri Aqil dengan muka sedih yang Ummi tahu benar hanya di buat-buat terlebih emosi.

"Ummi nak peluk. Aqil rindu Abahlah." Aqil berterus-terang.

"Sabarlah sayang,lusa Abah balik na. Ummi dengan Adikpun rindu Abah juga."
Ummi memujuk. Aqil kemudian meletakkan kepalanya ke perut Ummi.

"Ummi,dalam perut Ummi ni ada butterfly ke fish?" Tiba-tiba keluar soalan itu dari mulut Aqil.

"Dalam perut Ummi ada cacing."
Ummi menjawab dengan intonasi yang sengaja memancing Aqil untuk bertanya lagi.

"Ooo...takpa Ummi,nanti Abah balik,Abah bawa Ummi pergi klinik Aqil dengan Adik. Ummi cakap perut Ummi ada cacing,pastu Nurse tu bagi ubat cacing kat Ummi,Ummi makanla macam Aqil. Nanti cacing dalam perut Ummi mati tinggal fish dengan butterfly ja. Ummi sabar eh."
Seperti biasa Aqil meniru gaya percakapan Ummi.

"Baik doktor."
Aqil tergelak mendengar jawapan Ummi.

"Heheh..Ummi tu cakap Aqil doktor pulak."
Aqil membuat lagak tersipu-sipu segan.

Aqil kembali menyertai Ammar yang masih lagi asyik ber'treasure hunt'. Selang beberapa ketika Aqil menghampiri Ummi buat kali keduanya.

"Ummi,Zahin(sepupu Aqil) tu cakap tidur ke tidoq?" Spontan saja soalan itu terpacul keluar.

"Ha,Zahin cakap apa ya sayang?" Ummi menjawab dengan soalan.

"Tidoq."
Ummi tersenyum.

"Zahin tu cakap air ke ayaq Ummi?" Soalan kedua Aqil.

"Aqil dengar Zahin cakap apa?"
Ummi jawab dengan soalan lagi sekali.

"He...ayaq." Ummi kemudian terus bertanya sebelum sempat Aqil memberi soalan ketiga.

"Aqil,Zahin tu cakap nak ke mau?"

"Mau."
Cepat Aqil menjawab.

"Pandai,jom Ummi buat susu yang paling best untuk Aqil nanti Aqil lagi pandai." Ummi cuba menukar topik.

"Emmm..." Aqil mengerutkan kening.

"Belum tamatkah sesi soal jawab ini." Detik hati Ummi.

"Zahin tu cakap apa Ummi." Riak wajah Aqil penuh tanda tanya.

"Zahin cakap Kedah sayang,macam Mak dengan Pak Zahinla."
Ummi cuba memuaskan hati Aqil.

"Tok Chaq tu cakap macam Diego." Sudah belum habis lagi rupanya. Ummi mengangguk saja.

"Hailah,Tok Chaq hang tak da kena mengena la dalam ini punya gambar Aqil."
Kata Ummi dalam hati sambil tergelak.

Tok Chaq Aqil yang lelaki memang cakap macam Diego dalam kartun Go Diego Go(bukan Diego dalam sinetron dramalova Abah ya). Cakap 'English'. Oleh kerana keluarga sebelah Mak Abah adalah dari Kedah maka emak saudara yang sulung dipanggil Mak Chaq dan suaminya Pak Chaq. Amani berdua pula memanggil mereka berdua dengan Tok Chaq. Tok Chaq lelaki memang 'orang putih' tulen. Kami bermalam di rumah mereka sewaktu Hari Raya Puasa yang lepas. Satu malam Aqil sangat ralit mendengar Tok Chaqnya bercakap. Aqil bertanya separuh berbisik ke telinga Ummi.

"Ummi,Tok Chaq tu cakap macam Diego. Tok Chaq cakap apa?"

"Cakap English la sayang. Aqilpun pandai cakap English kan. Car,ball,cat,bird." Aqil mengangguk sambil mata tidak lepas memerhatikan Tok Chaqnya.

Begitulah Aqil. Namanya sudah cukup menggambarkan dirinya. Ummi tidak tahu dari mana Aqil dapat semua itu. Mungkin mengambil dan mewarisi gen bijak Tok,Tok Wan,Tok Ayah,Tok Mek dan Abahnya. Mujurlah Aqil tidak mewarisi gen bijak Ummi yang tidak berapa bijak sangat ini. Ummi tersenyum sendirian bila mengenang kerenah anak-anak. Itu baru Aqil belum masuk Ammar lagi. Semoga anak-anak Ummi mengambil dan mewarisi hanya yang elok-elok saja dari Ummi,yang tidak elok Ummi minta janganlah.

Ummi secara peribadi tidak bersetuju dengan sesetengah ibubapa yang hanya mementingkan penguasaan anak-anak dalam Bahasa Inggeris saja dari Bahasa Melayu. Pada Ummi kedua bahasa adalah penting dan perlu diseiringkan kerana tuntutan sistem pembelajaran. Walaupun PSMI sudah dimansuhkan,tidak rugi jika Amani berdua punya kelebihan berbahasa lebih dari satu bahasa saja.

Ummi fikir,Ummi dan Abah berbangsa Melayu,bahasa pengantar di rumahpun Bahasa Melayu. Keluarga dan kenalan hampir semuanya berbangsa dan berbahasa Melayu. Jadi adalah lebih tepat jika Ummi menekankan penguasaan Bahasa Melayu terlebih dulu kepada Amani berdua supaya bukan saja dapat menarik minat tetapi Amani berdua dapat memahami dengan jelas dan tepat apa yang Ummi,Abah dan keluarga cuba sampaikan dalam proses mendidik mereka. Dalam masa yang sama Ummi memperkenalkan juga Bahasa Inggeris mudah kepada Amani berdua. Jadi Insya-Allah Amani berdua akan dapat kedua-dua bahasa. Setakat ini Aqil memberi respon yang baik. Aqil tahu car adalah kereta,ball adalah bola,fly adalah terbang dan beberapa perkataan lagi. Alhamdulillah.

Isnin, 26 Oktober 2009

Kita Sama-Sama.

Separuh akhir bulan November ini Abah kembali aktif dengan urusan kerja luar daerah. Minggu lepas Abah ke Singapura,minggu ini ke Kerteh dan Kuantan. Minggu depan Abah dijangka akan ke Kuching pula. Ummi dan Amani berdua setia di rumah. Sejak ada Amani berdua jarang benar kami mengikut Abah ke luar daerah atas urusan kerja. Kami lebih selesa berada di rumah tanpa perlu menempuh perjalanan pergi balik yang jauh dan menginap di hotel yang aktiviti dan ruangnya terhad. Di rumah jadual harian makan dan tidur Amani berdua lebih teratur,kesihatanpun terjaga. Abah pula dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang perlu diuruskan tanpa kami.

Ummi terharu dengan kegigihan Abah berkerja,terus-terang Ummi katakan majikan Abah tidak menghargai dan menjaga kebajikan Abah sebagaimana sepatutnya. Sedang pekerja lain silih berganti dalam tempoh yang singkat Abah tetap setia di situ. 6 tahun penuh kesabaran mencari rezeki yang halal buat kami di Metalux.

Abah,jangan pernah sekalipun terlintas dihati dan fikiran Abah rasa terkilan kerana kita tidak kaya. Ya,kita memang tidak kaya dengan harta dunia. Tapi kita kaya dengan kasih sayang,kebahagiaan dan kesihatan. Alhamdulillah. Jujur Ummi katakan Ummi bahagia hidup sederhana saja di dunia. Ummi yakin kesusahan lebih mendekatkan kita pada-Nya dan memberi lebih nilai dan nikmat pada hidup.

Kita sama-sama pegang kata
Abdullah bin Umar r.a.

Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya,
dan bekerjalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.

Bekerja untuk dunia supaya kita sama-sama berusaha untuk mengadakan apa yang kita perlu ada,tapi kita masih belum ada. Bukan untuk kita mengadakan apa yang kita hendak ada semata-mata. Bekerja untuk akhirat pula supaya kita sama-sama berasa syukur dan cukup dengan apa yang kita ada di dunia dan berusaha mengadakan apa yang perlu kita ada untuk mati.

Carilah dunia dan kejarlah akhirat,insya-Allah kita akan jumpa ketenangan di situ.




Selasa, 13 Oktober 2009

Ummi Tak Pandai Memasak.

Memasak memang bukan kepakaran atau kesukaaan Ummi. Berbeza dengan dua orang kakak Ummi,Angah dan Ateh. Hanya dengan merasa saja mereka sudah tahu apa yang terkurang atau terlebih dalam masakan itu. Bila kami sekeluarga berkumpul,Ummi hanya menjadi tukang membuat air dan memasak merekalah tukangnya.

Selain Angah dan Ateh,kedua mertua Ummipun bukan saja pakar tapi sangat obses memasak. Ummi kagum. Sepanjang Ummi menjadi menantu Haji Ruslan dan Hajah Padzilah,seingat Ummi boleh dibilang dengan jari sebelah tangan Ummi memasak untuk mereka. Malu tapi itulah kenyataan.

Di awal perkahwinan kami ketika kami makan berdua,Abah pernah bertanya tentang makanan kegemaran Ummi. Kritikan Abah pada jawapan Ummi telah memberikan kesan yang mendalam. Kata Abah,tidak ramai orang yang menulis dalam biodata ataupun orang menjawab bila ditanya tentang makanan kegemaran mereka adalah masakan mak. Ramai akan menulis dan menjawab dengan pelbagai jenis makanan yang pasti kebanyakkannya dimakan di kedai.

"Ayang nak anak-anak ayangpun tulis dan jawab macam tu juga?."

Sinis soalan Abah menguris hati Ummi. Abah memang begitu,kritikan Abah menjengkelkan tapi selalunya benar dan berasas. Payah untuk Ummi membetah apatah lagi membantah.

Tidak pakar atau tidak suka memasak bukan lagi alasan untuk Ummi tidak memasak kerana sekarang Ummi perlu memasak. Perlu kerana ekonomi dan kerana tuntutan hidup sebagai isteri dan ibu. Ummi berusaha belajar dari semua sumber yang ada. Keluarga,kenalan,buku dan internet. Orang yang tidak pakar dan tidak suka memasak tapi perlu memasak macam Ummi memang perlu berusaha lebih. Mencuba dan terus mencuba. Ummi bertuah mempunyai suami dan anak-anak yang tidak cerewet makan. Apa saja yang Ummi masak insya-Allah akan habis di makan walau apa juga rasanya.

Alhamdulillah,kekadang Ummi mendapat pujian dengan masakan Ummi dan pujian membuatkan Ummi bertambah suka untuk memasak. Ummi sangat berterima kasih kepada yang memberi pujian dengan jujur. Tapi Ummi lebih menghargai kritikan yang membina dari pujian yang menjaga hati saja.

Pada Ummi yang masih amatur dalam memasak,memasak untuk suami dan anak-anak bukan soal sedap semata-mata tetapi soal kebersihan,kesihatan dan yang paling penting keberkatan. Air tangan isteri dan ibu yang mengalir bersama walau hanya Bismillah memberi rasa dan nilai yang berbeza. Begitu juga memasak untuk tetamu,sesungguhnya meraikan tetamu dengan masakan sendiri memberi keseronokan buat Ummi. It such an honour.


Isnin, 5 Oktober 2009

Pencuri Tong Sampah Hitam.

Perasaan gembira Ummi kerana selamat sampai ke rumah dari pulang beraya bertukar menjadi geram dan marah. Masuk kali ini sudah 3 kali tong sampah hitam kami hilang semasa kami tiada di rumah dicuri jiran-jiran. Kali pertama,jiran depan rumah kami yang berbangsa Cina. Kali kedua,jiran selang sebuah rumah sebelah kiri rumah kami yang berbangsa India. Kali ini jiran selang dua buah rumah depan rumah kami yang berbangsa Melayu beragama Islam pula,lengkaplah kempen 1 Malaysia. Panjang kaki sungguh tong sampah hitam Ummi menjelajah rumah jiran-jiran yang panjang tangan.

Di kejiranan Ummi sampah dikutip 2 ke 3 kali seminggu. Waktu dan hari kutipan tidak pernahnya tetap. Setiap kali sampah dikutip tong sampah hitam akan berubah kedudukannya kerana semasa kutipan lori sampah akan bergerak sepanjang jalan tanpa berhenti. Jadi tong sampah hitam akan diletak kembali sesempat tangan pekerja Majlis Bandaran. Kekadang terlajak sampai selang beberapa buah rumah.

Malam itu sesampainya di depan rumah Abah turun untuk membuka pintu pagar. Abah perasan yang tong sampah hitam kami tidak kelihatan,yang ada cuma penutupnya saja. Abah memberitahu Ummi. Mulanya Ummi ingatkan tong sampah hitam kami terlajak seperti biasa. Ummi mencari ke rumah sebelah,ada tapi bukan kami punya. Ummi cuba pula mencari di rumah suspek-suspek terdahulu,pun bukan kami punya. Ummi tambah geram.

"Aku tak kira. Aku akan cari sampai dapat juga tong sampah hitam aku tu malam ni. Aku nak tengok siapa pula yang jadi pencuri kali ni." Ummi mengomel dalam hati.

Ummi memang sangat 'particular' dengan barang-barang Ummi,kalau tidak masakan Ummi masih menggunakan penyakut baju yang sama dari sekolah menengah. Jadi memang silap oranglah sesiapa yang cuba mengambil barang Ummi.

Ummi kembali ke rumah untuk mengambil lampu suluh. Geram Ummi bertambah lagi bila waktu itulah juga lampu suluh habis bateri. Dalam kegelapan malam,berbekal cahaya 'handphone',Ummi dengan gigih menjejaki tong sampah hitam. Ummi akhirnya ternampak ada 2 tong sampah hitam di hadapan rumah jiran selang 2 buah rumah depan rumah kami. Rumah Pakcik Taukeh Restoren(TR).

"Pelik,selalunya ada 1 saja tong sampah hitam Pakcik ni." Ummi berbisik sendirian.


Entah mengapa hati Ummi begitu yakin yang salah satu tong sampah hitam itu adalah tong sampah hitam Ummi. Ummi menghampiri tong sampah hitam itu dengan gaya bak Calleigh 'Bullet Girl' dalam CSI Miami. Tong sampah pertama memang milik Pakcik TR kerana memang Ummi ingat tong sampah hitamnya sudah pecah sedikit. Tong sampah kedua elok berplastik sampah dengan sampah yang hampir setengah tong. Ummi terus terbalikkan tong untuk melihat tanda yang akan membuktikan tong sampah hitam itu kepunyaan Ummi. Sah ada tanda jenama 'bpi' bersama garis yang Ummi sengaja buat. Sah tong sampah hitam itu Ummi punya.

"Ooo.Pakcik rupanya pencuri yang mencuri tong sampah hitam aku." Pencuri dan mencurilah namanya bila mengambil barang orang tanpa meminta dari tuannya. Tanpa berlengah Ummi mengeluarkan sampah dan meninggalkannya begitu saja.


Di rumah Abah masih cuba mempositifkan Ummi. Kata Abah,Pakcik TR mungkin hanya mahu meminjam tong sampah hitam kami sementara kami tiada di rumah dan tidak menggunakannya. 'What ever it is' Pakcik TR tetap telah mengambil tong sampah hitam Ummi tanpa meminta terlebih dulu. Ummi cuba juga memujuk hati untuk berfikir seperti Abah. Keesokkan paginya Ummi menjeguk ke rumah Pakcik TR,sampah yang Ummi tinggalkan semalam sudah berplastik elok.

"Bolehpun uruskan sampah sendiri tanpa guna tong sampah orang. Kenapa sebelum ni tak buat saja macam tu? Kenapa mesti ambil guna tong sampah orang. Kalau dah tahu sampah kita banyak belilah tong sampah 'extra' sendiri." Ummi membebel panjang dalam hati.

Hingga ke hari ini Pakcik TR tidakpun menjelaskan kepada Ummi tentang hal tong sampah hitam itu walau sudah 4-5 kali terserempak di depan rumah. Ummi tidak faham ada juga orang yang boleh berlagak seperti tiada apa yang berlaku sedangkan dia telahpun ter'caught red handed' mencuri barang orang. Dia tahu kita tahu dia ambil barang kita tanpa meminta ataupun dia tahu kita tahu dia curi barang kita. Tebal sungguh muka dia.

Bukan soal tong sampah yang Ummi kecohkan. Ummipun mampu untuk membeli tong sampah hitam baru. Tapi Ummi tidak mahu membenarkan perbuatan yang salah. Sebelum ini Ummi tidak terasa geram dan marah sangat kerana jiran yang bukan muslim yang curi. Kali ini jiran yang muslim pula,bukan geram dan marah saja lagi kesal pun ada.

Hormatilah jiran dengan turut menjaga harta benda mereka ketika mereka tiada. Tong sampah yang terlajak ke rumah kita pulangkan kepada tuannya bukan diambil guna seperti harta sendiri.